بسم الله الرحمن الريم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
JANGAN SALAHKAN MOOD
Tip Jana Mood Belajar
1- Senyum
Percaya atau tidak, apabila anda kerap menguntumkan senyuman, tubuh anda bakal mengetepikan stres dan menjana keceriaan. Tambahan pula, kajian juga menunjukkan betapa dengan senyuman, kesihatan akan lebih terjamin. Dan yang paling menarik, bukankah Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa senyum itu sedekah? Jadi senyumlah mulai sekarang!
Dengan senyuman, anda bakal mencipta perasaan relaks, membina emosi gembira dan memudahkan anda untuk menghadap buku (bukan Facebook ya!) dengan kesungguhan yang lebih tinggi. Abang Badr cadangkan anda lakukan kaedah ini sambil menghadap cermin, insya-Allah kesannya lebih cepat dan impaknya lebih mendalam. Tak percaya? Cubalah!
2-Bersyukur dan berterima kasih
Cari jalan untuk mensyukuri semua nikmat yang Allah kurniakan. Kehebatan sifat ini akan mengundang 1001 lagi nikmat lain yang tidak terhitung jumlahnya.
Cuba lihat di sekeliling anda :
- Bersyukurkah hari ini apabila Allah masih menganugerahkan gelaran sebagai seorang Muslim?
- Bersyukurkah hari ini apabila Allah masih mengizinkan mata mampu memandang, telinga mampu mendengar dan mulut mampu berbicara?
- Dan bersyukurkah hari ini tatkala ramai remaja yang cenderung membaca bahan hiburan yang melalaikan, anda dilorongkan oleh Allah untuk menatap bahan ilmiah yang bermanfaat?
3-Bermain bukan main-main
Biar betul? Sedar atau tidak, sejak kecil, kita banyak belajar tentang kehidupan menerusi permainan. Kita belajar tentang kejujuran menerusi permainan sorok-sorok. Kita belajar tentang kepantasan dan strategi daripada permainan baling selipar. Dan kita kenal erti kerjasama daripada permainan bola sepak. Kenapa? Ini kerana saat kita bermain, kita bermain dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar keceriaan yang kita miliki, malah kita serius dalam setiap saat kita bermain. Bukankah ini yang anda perlukan ketika belajar?
Masalah pelajar kecundang adalah mereka suka main-main! Mereka tidak fokus dan tidak ceria. Mereka tidak serius ketika belajar. Akhirnya proses pembelajaran yang sepatutnya menarik menjadi hambar dan membosankan kerana mereka tidak bijak "bermain" ketika belajar.
Pelajar cemerlang lain pula ceritanya. Mereka menganggap membaca buku sebagai satu pengembaraan mencari jawapan. Mereka berlumba dengan masa. Mereka mencabar keupayaan diri dan dan melakukan dengan bersungguh-sungguh setiap latihan yang diberi. Mereka seronok dan puas setiap kali misi mereka berjaya disempurnakan. Mereka "bermain" dan bukannya main-main! Kerana itulah mereka berjaya mencapai impian dan meninggalkan pelajar kecundang tercungap-cungap bersama angan-angan!
Apakah tindakan anda setelah membaca artikel ini? Adakah anda hanya membacanya tanpa menghayati dan menyelami setiap bait patah perkataan yang ditulis atau sudah mula berkira-kira tindakan yang bakal diambil setelah mendapat tip yang berguna ini? Tepuk dada, tanya iman.. :-)
Walau apa pun langkah serta tindakan yang bakal anda ambil, ingatlah! Mesti melakukan perancangan dengan serapinya agar tindakan yang bakal anda ambil nanti, tidak akan mendatangkan masalah pada diri anda, insyaAllah. Bittaufiq wan najah. Wassalam.