Selasa, 9 Jun 2020

Pertandingan cerpen dakwah


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamulaikum w.b.t.. Sudah sekian lama saya tidak bertandang ke sini. Rindu sebenarnya untuk menulis & berkongsi cerita tentang sebuah kehidupan yang saya lalui. Tahun ini saya memasuki umur 30 tahun. Allahuakbar, sekejap sahaja masa berlalu. Zaman remaja telah lama saya tinggalkan namun, kenangan serta memori yang pernah hadir dalam kamus kehidupan saya amat berharga. Andai diizinkan oleh Yang Maha Esa, saya ingin "simpan" kenangan tersebut di ruangan ini, in shaa Allah. Gambar di atas berkenaan sebuah pertandingan menulis cerpen. Saya sempat mencurahkan idea yang tidak seberapa dalam pertandingan tersebut. Alhamdulillah, walaupun tidak terpilih sebagai pemenang, saya bersyukur kerana dapat menulis juga cerita pada zaman persekolahan saya. Saya akan simpan "memori" tersebut di sini. In shaa Allah, suatu hari nanti ia akan menjadi tatapan buat anak murid, sahabat, anak-anak saya, aamin.
Dalam masa sehari sahaja saya menghabiskan masa untuk mengarang kisah ini. Alhamdulillah setelah 10 kali edit & sebanyak 2,444 patah perkataan saya berjaya habiskan. Jom baca kisah saya yang tidak seberapa ini.



Nostalgia zaman persekolahan.

Pra Peralihan & Tingkatan Satu ( Maahad Rahmaniah, Kuala Krai, Kelantan ).
Bismillahirrahmanirrahim.
Kalam nukilan ini dimulakan dengan selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarganya, dan tidak dilupakan juga buat sekalian ummat yang dikasihi & dicintai oleh baginda.
Kulakarkan kembali sebuah perjalanan di alam remja yang penuh dengan cerita serta sarat dengan iktibar yang amat berharga.
Nukilan ini kutujukan khas buat ayahanda tercinta, Abdol Manas Bin Haji Mohd Noor. Abah, terima kasih kerana telah mendidik & mentarbiah kami adik-beradik dengan nilai Islam yang cukup indah. Abah merupakan seorang anggota polis yang telah berkhidmat lebih kurang 30 tahun & kini abah telah bersara kerana mengalami strok.
Perjalanan kehidupan saya sebagai seorang remaja bermula dengan kemasukan saya di sekolah menengah agama. Saya pada mulanya menentang dalam diam, kerana takut dengan abah. Maklumlah, abah garang dengan anak-anak. Saya masih teringat sewaktu habis upsr, abah bertanya keapada saya, “kak nak masuk sekolah mana?”..belum pun sempat saya mengeluarkan butir bicara, abah terus bersuara, “kalau kak nak masuk sekolah menengah biasa, abah tak akan tanggung, bayar yuran sendiri, beli buku sendiri & sebagainya!”..Fuhh, berdesing telinga waktu itu. Maka kaki ini dengan beratnya terpaksa juga “menunaikan” hasrat abah. Ini kerana, abang & kakak saya menimba ilmu di sana.
Alah bisa tegal biasa itulah pepatah yang boleh dikatakan. Maahad Rahmaniah adalah sekolah pertama saya. Di sini saya dipertemukan dengan ustaz & ustazah yang cukup banyak membantu diri ini. Ustazah yang paling tidak boleh saya lupakan ialah Ustazah Norakma ; guru bahasa arab. Kalau tidak kerana ustazah, sampai sekarang mungkin, saya tidak akan pandai & tahu menulis jawi. Ustazah Norakma dianggap ustazah yang garang & menakutkan. Selain mengajar, ustazah juga merupakan guru disiplin.
Masih segar di ingatan, pelajar muslimat tingkatan satu akan terkejar-kejar ibarat tak cukup tanah apabila ustazah masuk ke kelas. Kenapa semua pelajar muslimat takut?? Ustazah Norakma yang terkenal dengan tegas & garang, terhadap disiplin pelajar muslimat telah mewajibkan pelajar muslimat untuk memakai jarum peniti pada tudung. Pelajar muslimat juga wajib melihat tudung dengan lipatan yang betul. Andai tersalah lipat, padah akan menanti. Saya di antara pelajar yang “patuh” & “taat” terhadap disiplin..hehehe..
Waktu berlalu dengan begitu pantas. Sewaktu hujung tahun persekolahan, abah menyuarakan bahawa kami adik-beradik kena pindah sekolah. Kami tertanya-tanya, kenapa?? Sedihnya, kerana saya mula serasi dengan tarbiah di sekolah agama arab.

Tingkatan Dua ( Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan ).
Maka kami dengan langkah longlai menuruti perintah abah. Ketika itu, sebarang pertukaran sekolah perlu mengambil surat di Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan. Apabila surat telah mendapat kelulusan, maka kali ini akan memulakan sesi persekolahan di tempat baru. Sebenarnya bandar ini bukanlah kami tidak arif, ini kerana bandar ini adalah kampung halaman kami. Semasa berada di sini, saya memulakan perniagaan kecil-kecilan di antara kawan-kawan iaitu menjual gula-gula, kerepek & makanan ringan. Saya juga tinggal di pondok dengan Jaddah. Adik-beradik yang lain tinggal dengan abah & umi.
Alhamdulillah kami cepat serasi dengan sekolah di kampung ini. Mudir kami ialah Ustaz Nasir. Ustaz Nasir dikenali sebagai seorang ustaz yang amat dikagumi & dihormati kredibiliti & kepimpinanya. Saya amat menghormati beliau kerana dia prihatin & cakna terhadap kebajikan pelajar. Alam remaja adalah zaman yang cukup berharga. Saya pernah mendapat nombor 1 di dalam kelas sewaktu peperiksaan. Seingat saya itulah kali terakhir saya mendapat nombor satu kerana lama-kelamaan subjek semakin banyak iaitu sebanyak 21 subjek.
Pengalaman berada di sekolah ini boleh dikatakan menarik juga. Pada suatu hari, pihak perpustakaan telah mengadakan pertandingan menulis. Saya hanya bersahaja dengan mencuba nasib untuk menulis & tidak mengharapkan kemenangan. Sekadar mencurahkan & meluhkan pendapat sebagai ulat buku.Namun alhamdulillah, rezeki yang tidak disangka-sangka, sewaktu perhimpunan pagi, guru perpustakaan mengumumkan juara pertandingan ialah saya.. Allahuakbar, seakan tidak percaya & hampir nak pengsan kerana terkejut nama saya dipanggil..Sehingga kini saya masih menyimpan sijil penyertaan tersebut.
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Sewaktu hujung tahun, abah sekali lagi memberi kami kejutan bahawa, kami perlu pindah sekali lagi ke Kota Bharu kerana abah ditukarkan di IPK Kota Bharu.

Tingkatan Tiga ( Maahad Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan ).
Seperti biasa, pertukaran sekolah perlu ke YIK. Masih segar di memori, ustaz yang memberikan borang pertukaran tersebut memberitahu, “kamu lagi, kenapa setiap tahun bertukar sekolah? Kamu ada masalah disiplin ke ustaz bertanya”..Saya hanya tersenyum & memberitahu, “mana ada ustaz, saya budak baik, abah saya pindah tempat kerja, kami pun ikut sekali la”.
Alhamdulillahi ‘ala kulli hal sewaktu berpindah ke sini. Kami tak sangka sebenarnya akan berada di sekolah almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat ; rupa-rupanya abah telah memilih sekolah ini untuk kami anak-anaknya menimba ilmu..Allahu, terima kasih abah kerana memberikan kami untaian ilmu di tempat yang terbaik. Sepanjang berada di sini banyak benda yang saya pelajari & yang paling menarik, dapat melihat Ayah Zik iaitu gelaran pelajar, kepada almarhum Tok Guru Nik Aziz. Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Kalau sebelum ini hanya dapat melihat beliau dari jauh di medan ilmu setiap hari jumaat.
Mudir pada waktu ini ialah Ustaz Nik Omar. Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan ketika saya hendak pulang dari sekolah menuju ke masjid. Masjid berada di hadapan rumah almarhum Tok Guru. Sewaktu berjalan menuju ke masjid, saya ternampak almarhum menuju ke masjid untuk menunaikan solat zohor. Waktu itu tidak dapat digambarkan perasaan saya. Terkejut, teruja, kagum..Allahu, Tok Guru ada depan mata. Terdetik di hati saya, aku nak panggil apa ya dekat Tok Guru? Ustaz?Ayah Zik? Rasa nak lari pun ada..hahaha.. Alhamdulillah akhirnya saya lalu juga & memberi salam kepada almarhum..rindu sangat detik ini.

Tingkatan Empat (Madrasah Tarbiah Mardziah, Panchor, Pengkalan Chepa, Kelantan).
Bagaikan halilintar menyapa kami ketika ini. Kami diminta untuk bertukar sekolah sekali lagi. Abah sekali lagi ditukarkan ke IPD Kuala Terengganu. Kami akur & patuh. Sedih sebab terpaksa meninggalkan sekolah yang amat hebat bagi saya. Maka sekali lagi kami menaiki tangga YIK, untuk permohonan pertukaran. Saya hanya mampu tersenyum apabila ustaz menghulurkan borang. Ustaz pun dah tak menemuramah saya secara terperinci. Beliau sudah boleh meneka akan jawapan apa yang akan saya beritahu.
Tahun ini 2007, iaitu tahun di mana saya akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU). Pada awal tahun persekolahan, saya agak kekok untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Namun, lama-kelamaan ianya menjadi biasa. Kerana sebelum ini kami sudah biasa berpindah-randah & bertukar sekolah.. Kawan-kawan pun sudah boleh menjangka, entah-entah tahun hadapan tukar sekolah lagi.. Saya hanya mampu tersenyum sahaja. Saya memberitahu kawan bahawa ini adalah sekolah saya yang ke empat. Mereka memberikan reaksi terkejut, tetapi saya biasa sahaja. Ada juga sahabat yang bertanya, “kenapa banyak sangat sekolah tu”. Saya menceritakan perihal yang sebenar ; alhamdulillah mereka menerimanya dengan hati yang terbuka.
Tahun ini bukan seperti tahun-tahun biasa, saya semaksima mungkin berjuang & bertekad untuk berjaya dalam peperiksaan saya. Sewaktu di awal tahun, saya menerima kejutan juga kerana ustazah & ustaz yang mengajar garang juga. Kecut perut dibuatnya. Saya faham mengapa mereka bersikap demikian. Mana tidaknya, kami akan menduduki peperiksaan yang besar juga.
Saya amat tertarik dengan pengajaran seorang ustaz yang mengajar subjek adab nusus. Pengajarannya yang unik & penyampaiannya sampai ke hati saya. Seolah-olah apabila beliau menceritakan tentang kabilah-kabilah Arab itu, beliau ada di tempat kejadian. Subhanallah, itu la guru-guru kita. Hebat, mantap & berpengetahuan luas. Selepas peperiksaan pertengahan tahun, kami bercampur antara pelajar lelaki & perempuan. Kalau sebelum ini, kelas kami hanya pelajar perempuan. Maka bermulalah episod yang baru dalam pembelajaran kami.
Kelas yang paling saya takuti ialah kelas Hadis. Ustaz yang mengajar kami ialah guru disiplin sekolah. Seorang yang garang & cukup tegas. Saya pernah didenda oleh beliau kerana tak ingat matan hadis. Allahu, waktu itu malu bukan kepalang. Saya diminta berdiri di atas kerusi & saya jugalah satu-satunya pelajar muslimat yang didenda. Alhamdulillah, berkat dendaan tersebut, saya mula menghafaz dengan sebaik mungkin.
Sudah jatuh ditimpa tangga. Sebenarnya saya bukanlah seorang pelajar yang bijak lagi cerdik. Suatu ketika kami sekeluarga ditimpa ujian. Waktu ini sedih sangat sebab abah pulang ke rumah seminggu sekali kerana abah bertugas di Kuala Terengganu. Kami adik-beradik bergaduh sesama sendiri tidak diketahui punca. Adik lelaki saya yang sama sekolah dengan saya telah membuat onar, saya bergaduh dengan ibu saya. Pelbagai mehnah ujian yang kami tempuhi & percaya atau tidak, saya hampir membuat keputusan untuk terjun bangunan sekolah dek kerana tidak tahan dengan ujian yang menimpa.
Saya terpaksa menerima kaunseling daripada pihak sekolah. Namun, Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Penyayang. Hari peperiksaan hampir tiba, saya mengambil sikap positif untuk melalui ujian ini dengan sikap terbuka. Saya mengharungi hari peperiksaan dengan penuh tawakkal keada Allah Yang Maha Esa. Alhamdulillah, saya berjaya mendapat pangkat 1 agregat 14 pada tahun tersebut. Sesungguhnya apa yang berlaku akan saya sematkan di dalam memori kehidupan saya.

Tingkatan Lima & Tingkatan Enam ( Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan ).
  Hakikatnya, bangunan Yayasan Islam Kelantan (YIK), telah mengenali saya & keluarga. Sesungguhnya saya juga berazam bahawa ini adalah tahun terakhir kami berulang-alik ke sini. Abah meminta kami untuk menukar sekolah buat kali yang kelima mungkin, iaitu berpindah semula ke sekolah yang kedua dahulu. Abah meminta kami berbuat demikian kerana, tempat kerja abah, iaitu Kuala Terengganu lebih dekat dengan Pasir Puteh.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan saya tempuhi pada tahun ini. Tahun 2008 merupakan tahun yang paling mendebarkan buat saya. Sewaktu diterima masuk ke Maahad Saniah, Pasir Puteh, mudir Nasir meminta saya untuk masuk kelas pertama iaitu kelas akaun. Saya memohon yang sebaliknya, iaitu saya ingin masuk kelas yang ketiga ; kelas perdagangan. Tidak mengapalah duduk dalam kelas yang terakhir pun, asalkan belajar, itu yang saya katakan pada diri.
Maka ada sahabat-sahabat yang pernah sekelas dengan saya sewaktu di tingkatan dua agak terkejut kerana saya “kembali” semula ke sini. Saya tersenyum sahaja melihat riak wajah mereka. Proses pembelajaran saya pada tahun ini agak berlainan sedikit. Ini kerana pada tahun ini, saya meminta izin dengan ibu saya untuk tinggal di rumah sewa bersama kawan-kawan. Saya ingin lebih fokus dengan pelajaran bermula daripada awal tahun.
Cikgu Rohama, guru bahasa melayu saya. Beliau merupakan rakan sekerja ibu saya sewaktu mereka mengajar bersama-sama di salah sebuah sekolah rendah. Kini, ibu saya tidak lagi bekerja sebagai seorang guru. Cikgu Rohama mengenali saya sebagai “anak” sahabatnya. Selalu beliau menyebut-nyebut tentang ibu saya.Naik segan saya dengan kawan-kawan. Cikgu Rohama merupakan seorang guru yang bersuara lantang. Beliau tidak memerlukan mikrofon untuk bercakap. Saya pernah berada di perpustakaan di tingkat satu, suaranya kedengarannya dengan begitu jelas.
Ujian lisan telah diadakan pada bulan tiga kalau tidak silap. Saya dapat menjawabnya dengan baik & telah mendapat pujian daripada cikgu Rohama.
Seterusnya, saya menduduki ujian pertengahan tahun. Alangkah terkejutnya saya kerana subjek kegemaran saya & memang saya target untuk mendapat A, telah mendapat C. Saya tidak boleh menerima kenyataan bahawa bahasa melayu saya jatuh teruk. Sahabat-sahabat saya menasihati saya & memberi kata-kata semangat. Saya hampir tidak percaya.Kenapa boleh jadi macam ni? Cikgu Rohama juga turut menyebut-nyebut nama saya berulang-ulang kali ; beliau tidak menyangka bahawa keputusan peperiksaan sebegitu.
Maka bermula pada saat & ketika itu, saya tekadkan semangat untuk menyahut cabaran cikgu Rohama untuk mendapat A bagi peperiksaan percubaan SPM. Saya akan mengulangkaji pelajaran setiap hari setelah sahabat-sahabat pulang ke rumah. Begitulah saya lazimi kehidupan saya bagi menebus kegagalan tersebut. Sesungguhnya benarlah bak kata pepatah, man jadda wa jada ; siapa yang berusaha dia akan dapat. Apabila keputusan percubaan SPM saya dapat, saya cukup gembira & teruja kerana telah mendapat A dalam bahasa melayu. Nama saya juga sering meniti di bibir cikgu Rohama kerana hanya saya seorang sahaja pelajar yang mendapat A dalam kelas tersebut.
Apabila tiba hari SPM yang sebenar, saya menghadapi peperiksaan dengan bersungguh-sungguh berkat usaha guru-guru yang tidak pernah berputus asa mendidik anak bangsa. Saat yang paling ditunggu-tunggu ialah pengumuman keputusan SPM pada tahun yang berikutnya. Oh ya, alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. Sekolah ini adalah sekolah yang terakhir. Saya juga mengambil STAM di sini. Sewaktu berjalan untuk mengambil keputusan, dalam kepala saya ialah bahasa melayu. Ya, bahasa melayu. Allahuakbar, saya terus meluru ke arah cikgu Rohama, “cikgu, saya dapat apa? Cikgu hanya memandang saya. Waktu itu hampir air mata saya gugur, ketakutan.. Cikgu Rohama tersenyum, “tahniah ain, awak dapat A1”. Saya waktu itu, “betul ke cikgu?” Saya terus memeluk beliau & air mata saya bercucuran. Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada beliau. Alhamdulillah, kini cikgu Rohama telah bersara. Mohon doakan beliau semoga sentiasa sihat walafiat.
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) adalah wasilah yang terakhir zaman persekolahan. Andai diikutkan kata hati & amarah saya pada waktu itu, saya mungkin tidak akan mengecapi & merasai nikmatnya menduduki STAM. Kenapa saya berkata demikian? Selepas saya mendapat keputusan SPM, saya ada memberitahu abah  hasrat saya bahawa saya ingin masuk maktab perguruan. Namun abah menyuarakan kata, dia ingin saya mengambil STAM. Berat juga sebenarnya hendak memikul amanah tersebut. STAM adalah subjek bahasa arab sepenuhnya. Saya takut juga sebenarnya. Ye la, ura-ura daripada senior ada mengatakan bahawa, 1 subjek STAM yang rasib, semuanya akan rasib (gagal).
Akhirnya, saya akur dengan permintaan abah. Saya teruskan jua pembelajaran saya. Sebenarnya saya bukanlah tidak meminati STAM, tetapi malas nak menghafaz sahaja. Tingkatan enam saya meminta izin abah & umi untuk menentap di rumah sewa. Saya menyewa di belakang masjid Ibrahimi bersama rakan-rakan. Sebelum ini saya tidak mengetahui latar belakang tentang dua orang sahabat saya. Rupa-rupanya mereka berdua merupakan pelajar cemerlang. Mereka berpindah ke sekolah ini untuk mengambil STAM.
Hari-hari yang saya lalui dengan penuh berhikmah. Saya boleh mengulangkaji dengan mereka. Sewaktu di tingkatan enam, ustaz ustazah saya cukup hebat. Antaranya ialah mudir Nasir ; mengajar subjek arudh qafiah. Saya pada mulanya cukup tidak berminat dengan subjek ini kerana bagi saya ianya susah. Tetapi mudir Nasir cukup kreatif orangnya, akhirnya saya mula jatuh cinta dengan subjek ini.
Seterusnya guru Nahu Soraf, ustaz Zamzuri. MasyaAllah, tulisannya persis di photostatat daripada buku. Cukup cantik, kemas & rapi. Kami ibaratnya hendak mencabut papan kenyataan untuk mengambil tulisannya sebagai kenang-kenangan.  
Akhirnya, saya & sahabat mendapat keputusan yang baik. Malah dua orang sahabat saya yang menyewa bersama mendapat mumtaz dalam STAM & telah melanjutkan pelajaran ke Jordan. Kami hanya melanjutkan pelajaran di dalam negara sahaja. Hubungan kami juga kekal sehingga ke hari ini ibarat isi dengan kuku. Semoga Allah menjaga kami dengan kasih sayangNya, allahumma aamin.

Tamat zaman persekolahan.
Cerita kita tidak sama & tidak mungkin akan pernah sama.Tetapi Allah memberikan peluang yang berharga untuk kita rebut. Maka jalanilah episod kehidupan ini dengan penuh berhati-hati agar tidak tersalah langkah & jatuh ke landasan yang dimurkai olehNYA.
Sekalung penghargaan buat abah ; Abdol Manas Bin Haji Mohd Noor. Terima kasih abah. Mohon doakan abah saya sihat & dapat berjalan walaupun tidak sesempurna dahulu. Terima kasih. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalam Kasih, Bertasbih Rindu Buat Insan Dikasihi, Muslimahku.

  Sahabat, hadirmu amat kudambakan... Kerana hadirmu mengenalkan daku erti sebuah pengorbanan dan pengharapan kepada Allah Yang Maha Esa. K...