Rabu, 17 Jun 2020

Pertandingan Penulisan Artikel JPRO





















Assalamulaikum w.b.t blog ku. Alhamdulillah ini merupakan penulisan ku yang kedua sepanjang tempoh pkp baru-baru ini. Walaupun tidak tersenarai sebagai pemenang, tetapi memori menulis serta mencurahkan idea itu tetap ada. Simpan sini penulisan ku yang tidak seberapa. Semoga ada rezeki di ruangan lain, aamin.

“Realiti vs Persepsi : Salah Faham Masyarakat Tentang Kerjaya Anda”
Persepsi masyarakat tentang institusi perguruan kadang-kadang begitu fanatik. Pendidik merupakan insan yang paling berpengaruh dalam era pembangunan sakhsiah & pembentukkan akhlak remaja. Andai tersilap corak atau pun gaya, pendidik akan dilabel sebagai seorang yang tidak beretika. Malang sungguh pemikiran jumud masyarakat abad ini. Semakin maju negara semakin rendah mentaliti dan paradigma masyarakat terhadap pendidik.
Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sesuai benar pepatah ini diaplikasikan dalam membentuk generasi Rabbani. Bukan mudah untuk mentarbiah anak & remaja pada era millenium ini. Pelbagai ragam, bentuk, justifikasi yang perlu guru perhalusi serta dalami. Guru ibarat lilin yang membakar dirinya dengan mencurahkan selautan ilmu yang tidak terkira jumlahnya. Masyarakat hanya memandang pada kulitnya sahaja bukan cuba untuk merasa isinya.
Seusai mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2008, saya menyuarakan isi hati kepada abah untuk memohon maktab perguruan. Namun hasrat saya hanya terhenti di situ kerana abah meminta saya untuk mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2009. Saya agak kecewa dan sedikit terkilan kerana saya begitu berminat menjadi seorang pendidik pada waktu itu. Namun, perancangan manusia tidak bersistematik dan setanding dengan rancangan Allah Rabbul Jalil. Setelah tamat tingkatan enam, saya mengambil keputusan untuk berhijrah keluar dari negeri Kelantan. Saya mendapat jawatan sebagai seorang guru kafa di daerah Dungun, Terengganu. Saya bekerja sementara menunggu keputusan STAM.
 Sesungguhnya, menjadi seorang guru itu tidak semudah kata. Tanggapan saya sebelum terjun ke dalam bidang ini ialah “menjadi guru itu mudah sahaja”. Seandainya kita tidak berada “dalam” kasut mereka, jangan sesekali kita bersikap memandang enteng dengan tanggungjawab mereka. Menjaga, mendidik, mentarbiah serta mendisiplinkan pelajar itu teramat susah. Pelajar datang dengan pelbagai bentuk, latar belakang, karenah serta perasaan. Sewaktu di pra persekolahan, guru memainkan peranan yang cukup penting; dimana seawal umur empat tahun ada pelajar yang datang mendaftar untuk belajar. Kalau tidak kena seni memujuk dan menarik minat pelajar untuk belajar, maka sia-sia sahaja pelajar hadir ke sekolah.
Sepanjang berada di universti, setiap cuti semester iaitu selama dua bulan, saya akan mengambil peluang keemasan ini untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin menjadi seorang pendidik. Pengalaman saya menjaga bayi seawal dua bulan juga sungguh mencabar. Seorang ibu menyerahkan anak yang disayangi dengan sepenuh hati kepada seorang insan yang tidak dikenali. Bayangkan betapa risau serta takutnya beliau pada waktu itu. Subhanallah, Allah itu Maha Kaya, beliau memberi kepercayaan kepada saya untuk menjaga puteri kecintaanya untuk dirawat serta dijaga. Saya juga tidak membiarkan beliau berfikiran negatif terhadap pengasuh, saya cuba meyakinkannya bahawa, saya akan menjaga puteri kesayangannya dengan sebaik mungkin. Sehingga kini kami masih lagi berhubung di antara satu sama lain.
Perjalanan saya sebagai seorang pendidik tidak hanya terhenti di situ, saya mengorak langkah dengan mencuba mengajar di sekolah menengah pula. Sesungguhnya ilmu Allah itu Maha luas. Semasa berada di sini, saya ditaklifkan untuk mengajar pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat dan tingkatan lima. Itu merupakan pengalaman yang paling berharga dan bermakna di dalam catatan perjalanan saya sebagai seorang mahasiswi. Saya belajar selok-belok alam pendidikan yang selama ini saya anggap ianya semudah memetik jari. Pada tahun tersebut, saya dipantau oleh pengetua sewaktu mengajar kelas tingkatan lima. MasyaAllah, seolah-olah saya seorang pencuri yang sedang ketakutan menunggu disoal siasat oleh polis. Takut bukan kepalang, tetapi saya boleh menyesuaikan diri setelah mula mengajar dan tanpa sedar, pengetua keluar pun saya tidak perasan.
Bermula dari secebis pengalaman mengajar di sekolah menengah, saya mula ada keyakinan untuk meneruskan minat saya dalam dunia pendidikan. Walaupun kita disapa dengan berita yang kurang enak berkenaan guru, saya tetap nekad dengan keputusan ini. Pernah juga saya hampir berputus asa dengan keputusan yang saya buat. Kenapa? Kerana guru mahupun pendidik pada hari ini dan abad ini diuji dengan ujian yang bertalu-talu. Tersentak ketika mengenangkan nasib menjadi seorang guru. Guru mempertaruhkan seluruh kehidupannya demi anak bangsa, terkadang anak-anak sendiri diabaikan. Hanya sedikit khilaf, guru diibaratkan “berdosa” kerana menegur sesetengah pelajar yang bermasalah.
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabarani : “Sesungguhnya ilmu itu perlu dipelajari bersungguh-sungguh.” Rasulullah bersabda lagi maksudnya : Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam al-Din (agama).” Seiring dengan dunia globalisasi, saya wajib memperkukuhkan kefahaman dan memperhalusi ilmu sebagai seorang pendidik. Masyarakat dan para pendidik seharusnya seiring sejalan bagi membentuk penyatuan ummah yang lebih efektif bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat.
Ironinya masyarakat kita pada hari ini terutamanya ibu bapa yang berkerjaya, menyerahkan anak jagaan mereka kepada pendidik seratus peratus. Mereka mengharapkan pendidik membentuk, membina, mendorong, menasihati anak mereka tanpa ada secalit noda. Andai pendidik tergelincir sedikit pada landasan pendidikan, maka pendidik diherdik, dimaki, dihina malah ada yang sanggup menularkan gambar atau video yang memperlihatkan “sakit hati” kepada pendidik tersebut. Tercalar perasaan seorang pendidik dengan tingkah laku ibu bapa. Namun jauh di sudut hati, walau seburuk mana sekalipun anak didik mereka, naluri guru tidak sanggup mendoakan perkara yang tidak elok menimpa mereka. Matlamat mereka hanyalah satu iaitu, memanusiakan seorang hamba.
Jatuh bangun seorang pendidik dalam dunia pendidikan sudah menjadi asam garam dalam kehidupan mereka. Namun beringatlah, manusia tetap ada batasan kesabarannya. Sarang tebuan jangan dijolok, takut nanti memakan diri. Marilah sama-sama kita menyelami pepatah yang berbunyi, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sesungguhnya dunia pendidikan akan suram dan kelam tanpa kerjasama dan rasa tanggungjawab bersama. Membentuk dan mendidik anak-anak pada zaman kini memerlukan ilmu pengetahuan serta aplikasi yang berkesan untuk terus membentuk mereka ke arah jalan yang benar.
Ledakan maklumat yang mereka perolehi semakin hari semakin merisaukan. Mungkin kelak, keinginan untuk menimba ilmu sudah tiada. Yang mereka perlukan ialah teknologi dan capaian internet untuk terus hanyut leka dengan arus duniawi. Keruntuhan akhlak mereka juga perlu diberi perhatian yang lebih serius. Pendidik kini bukan hanya mengajar, malah mentarbiah iman mereka mengenal Tuhan. Semoga pekerjaan ini menjadi amal jariah buat kita di akhirat kelak.

Glosari :
1) Fanatik ; keterlaluan pada sesuatu pegangan / pendirian.
2) Paradigma : contoh atau model yang jelas tentang sesuatu.
3) Persepsi ; gambaran atau bayangan dlm hati atau fikiran (ttg sesuatu); pandangan; tanggapan (kamus pelajar edisi kedua).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalam Kasih, Bertasbih Rindu Buat Insan Dikasihi, Muslimahku.

  Sahabat, hadirmu amat kudambakan... Kerana hadirmu mengenalkan daku erti sebuah pengorbanan dan pengharapan kepada Allah Yang Maha Esa. K...